Majlis Penutupan Program Amal PDRM dengan kerjasama Ipoh Superbike Club sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, petang ini.

KUALA LUMPUR – Insiden membabitkan 17 penunggang motosikal Malaysia yang ditahan dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Thailand wajar menjadi peringatan mengenai kepentingan menghormati peraturan negara asing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara lain perlu mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan negara berkenaan, pada masa sama hubungan antara negara jiran perlu berasaskan kesefahaman dan sikap saling menghormati.

“Pada hemat saya, di mana-mana negara pun kita harus mengikuti peraturan yang ditentukan oleh negara berkenaan.

“Dan tentunya kesefahaman mesti wujud di antara negara jiran, terutamanya kita berada dalam kerangka negara ASEAN,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Program Amal PDRM dengan kerjasama Ipoh Superbike Club sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, petang ini.

Beliau berkata, pendekatan bertolak ansur perlu terus diamalkan dalam hubungan antara negara jiran, namun ia perlu disertai sikap saling menghormati undang-undang.

“Maka, kita mesti bertolak ansur dan kita harap ianya hormat-menghormati dan bukan kita mahu melanggar undang-undang di mana-mana negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata prinsip sama perlu terpakai terhadap kenderaan asing yang memasuki Malaysia dan melakukan kesalahan atau melanggar peraturan tempatan.

Katanya, sebarang permasalahan membabitkan rakyat atau kenderaan dari negara ASEAN boleh dibawa melalui saluran rasmi antara kerajaan bagi mendapatkan penyelesaian secara bersama.

“Setiap tahun kita mempunyai mesyuarat rundingan tahunan di antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri mana-mana negara ASEAN.

“Dan sebarang permasalahan jika wujud, ianya boleh dirungkaikan di dalam mesyuarat berkenaan,” jelas beliau lagi.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan bertolak ansur penting bagi memastikan hubungan kejiranan antara negara ASEAN, khususnya negara yang berkongsi sempadan, terus berada dalam keadaan baik.

“Tolak ansur mesti dilakukan agar akan menampakkan semangat kejiranan yang erat di antara negara-negara ASEAN khususnya negara-negara yang berjiran,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here