Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung membantah sistem parkir berpusat di Selangor.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu memberi penjelasan lebih terperinci berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bayaran balik kos atau ‘reimbursement’ bagi perkhidmatan pekerjaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, meskipun penjelasan Kementerian Kewangan bahawa penyedia perkhidmatan pekerjaan hanya dikenakan SST terhadap yuran pekerjaan atau pengurusan adalah langkah positif, namun ia masih belum menjawab persoalan mengenai status ‘reimbursement’.

Katanya, JKDM perlu memperincikan perbezaan antara ‘disbursement’ dan ‘reimbursement’, termasuk menentukan kos berkaitan pekerjaan yang dikenakan cukai serta bayaran yang dikategorikan sebagai kos ‘pass-through’ dan tidak tertakluk kepada SST.

“Jika penyedia perkhidmatan pekerjaan hanya membayar sesuatu perbelanjaan terlebih dahulu dan kemudian mendapatkan semula jumlah tepat daripada pelanggan tanpa sebarang mark-up, syarikat perlu mendapat kepastian sama ada ia menerima layanan cukai yang sama.

“Dasar cukai perlu jelas, konsisten dan boleh dijangka. Kekaburan teknikal tidak sepatutnya menyebabkan syarikat terpaksa membuat andaian atau menanggung kos cukai tambahan yang tidak dimaksudkan,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, pihak kastam sepatutnya mengeluarkan panduan lebih terperinci supaya syarikat dapat menentukan dengan jelas kos yang tertakluk kepada SST dan kos yang dikecualikan.

Lee berkata, kebimbangan itu timbul susulan Garis Panduan Cukai Perkhidmatan yang disemak pada 9 Jun lalu didakwa menimbulkan tafsiran bahawa penyedia perkhidmatan pekerjaan perlu mengenakan SST bukan sahaja terhadap yuran pengurusan, malah bayaran statutori dan kos berkaitan pekerjaan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan HRD Corp yang dibayar bagi pihak pekerja.

Katanya, jika bayaran berkenaan turut dikenakan SST, kos tambahan bagi setiap pekerja kontrak atau pekerja yang disumber luar boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.

“Bagi syarikat yang menggajikan ratusan pekerja kontrak atau pekerja yang disumber luar, beban cukai tambahan itu boleh menjadi besar.

“Banyak syarikat multinasional bergantung kepada pengaturan penyumberan luar tenaga kerja dan ketidakpastian dalam layanan cukai akan menjejaskan keyakinan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan melalui saluran libat urus Kementerian Kewangan pada 30 Julai lalu selepas mengadakan pertemuan dengan pemain industri yang terjejas.

Menurutnya, beliau turut meminta pelaksanaan berkenaan ditangguhkan serta layanan cukai yang dianggap tidak munasabah dikaji semula.

Lee berkata, JKDM selepas itu menjelaskan bahawa bagi perkhidmatan pekerjaan, SST hanya dikenakan terhadap yuran pekerjaan atau yuran pengurusan, manakala kos atau perbelanjaan lain yang memenuhi kriteria ‘pass-through disbursement’ tidak tertakluk kepada SST.

“Penjelasan ini membantu, tetapi satu persoalan penting masih belum dijawab iaitu mengenai ‘reimbursement’.

“Isu membabitkan penyedia perkhidmatan pekerjaan kini sebahagiannya sudah diselesaikan, tetapi persoalan lebih besar masih kekal.

“Berapa banyak lagi kekaburan yang perlu dilalui perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebelum terdapat panduan yang jelas dan konsisten mengenai peluasan rejim SST?” katanya.

Beliau berkata, ketidakpastian sama turut pernah berlaku dalam isu SST enam peratus terhadap utiliti yang dituntut semula daripada penyewa pusat beli-belah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here