Pesawat TUDM menjalani EX US22 sekitar Kuantan selama enam hari sejak semalam.

KUANTAN – Orang ramai di sekitar Kuantan, Pahang dinasihatkan tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan India Air Force (IAF) terbang rendah sejak semalam.

Menurut kenyataan dari Markas Tentera Udara, ketika ini TUDM sedang melaksanakan eksesais bersama IAF di kawasan tertentu yang digasetkan kawasan latihan.

“TUDM melaksanakan satu eksesais bersama IAF iaitu Eksesais Udara Shakti 2022 (EX US22) bermula 12 Ogos hingga 17 Ogos ini melibatkan ruang udara Kuantan dan kawasan sekitarnya.

“TUDM menjadi tuan rumah bagi eksesais ini dengan konsep Field Training Exercise (FTX) dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE) dalam memperkukuhkan hubungan profesional antara dua angkatan udara Malaysia dan India.

“Selain itu, eksesais ini juga akan meningkatkan interoperability dalam melaksanakan latihan bersama di peringkat taktikal, membina dan mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala, perkongsian kemahiran dan pengalaman,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Sepanjang eksesais berlangsung, pesawat TUDM dan IAF akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan yang digazetkan.

“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM dan IAF terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette