Keadaan bumbung rumah Flat di Taman Johor Jaya tercabut disebabkan ribut semalam.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memerlukan RM1 juta untuk membaiki kerosakan perumahan yang rosak teruk akibat ribut petir di Johor Bahru semalam.’

Peruntukan itu membabitkan baik pulih bumbung, sistem pendawaian elektrik dan paip pecah Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya.

Kejadian ribut semalam menyebabkan pokok tumbang di lebih 30 lokasi sekitar bandar raya dan pelbagai kerosakan termasuk bumbung rumah, di Flat Taman Johor Jaya.

Sebanyak enam blok daripada 10 blok di kawasan itu rosak selepas bumbung tercabut akibat ribut serta angin kencang.

Bubung Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya yang tercabut selepas ribut petang semalam.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Noorazsm Osman berkata, MBJB melalui Skuad Kilat telah melaksanakan kerja-kerja pengalihan pokok tumbang dan pembersihan dengan segera di semua lokasi terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mendapatkan peruntukan ini dengan segera.

Katanya, rumah pangsa 300 unit itu sudah berusia lebih 22 tahun dan kerosakan itu membabitkan kediaman 50 keluarga yang kebanyakan duduk di tingkat atas.

Mohd Jafni yang melawat kediaman mangsa ribut itu berkata, perlu ada kaji selidik dibuat dalam memastikan kediaman berkenaan selamat diduduki atau sebaliknya selepas insiden ribut.

Pada masa sama, beliau turut menasihati penduduk supaya berpindah sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Taman Johor Jaya.

Selain kawasan Rumah Pangsa Ros Merah, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang.

Antara pokok yang tumbang di Johor Jaya selepas ribut melanda Johor Bahru semalam.

Antaranya kawasan yang dilaporkan terdapat pokon tumbang adalah Jalan Surau dan Jalan Bilal di Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting di Masai.

Pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya, selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, kawasan perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.- MalaysiaGazette