KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menjelaskan kerajaan pimpinannya akan dibubarkan sebaik sahaja mendapat laporan lengkap Wanita Barisan Nasional (BN) yang menunjukkan gabungan itu boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, ini kerana BN perlu memasuki pilihan raya dengan misi wajib menang bukan mengadakan PRU-15 untuk memenuhi hati mana-mana indvidu.
Justeru menurut beliau, laporan hasil kajian sikap yang sudah lama diamalkan Wanita UMNO perlu diperluaskan oleh wanita parti komponen lain dalam BN seperti MIC dan MCA.
“Kajian Sikap oleh Wanita UMNO sudah lama buat di mana saya mahu wanita parti komponen kerana bagi pengundi bercampur, kajian itu penting kerana kita juga ingin tahu sikap pengundi kaum-kaum lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas Program Bicara Hati sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja memerlukan komitmen dan penglibatan semua jentera bagi memastikan kemenangan BN.
Jelas beliau, dalam merangka gerak kerja, Wanita BN perlu bergerak secara berpasukan bersama-sama wanita-wanita parti komponen lain bagi menampakkan kesepakatan serta kekuatan parti di mata rakyat.
Ujarnya, gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) perlu diperkasakan dan seiring dengan perkembangan teknologi, Wanita BN perlu pandai menyesuaikan cara untuk mendekati pengundi dan tidak lagi hanya bergantung kepada cara tradisional.
“Sebaliknya, Jalinan Rakyat juga perlu menguasai sepenuhnya media sosial agar menyampaikan mesej-mesej dan agenda kerajaan kepada pengundi terutamanya golongan muda.
“Selain itu, saya juga mahu seluruh Wanita BN melaksanakan kajian sikap secara menyeluruh untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai lawan kita pada PRU akan datang dan kita mahu data ini menjadi rujukan kita kerana kita tidak mahu masuk medan perang tanpa strategi yang tersusun dan rapi.
“Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap Wanita BN kerana anda semua adalah denyut nadi BN yang sentiasa berjuang di barisan hadapan mahupun di sebalik tabir.Kita mahu BN menjadi satu-satunya harapan rakyat bagi tahun-tahun yang mendatang kerana sudah terbukti BN sahaja yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette