SERDANG – Laman Padi di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS) menjadi anak angkat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Bahagian Pembangunan Industri Padi bersama Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pada masa sama, keputusan itu dibuat bagi meneruskan pameran serta aktiviti berkaitan hab agro makanan dan agro pelancongan di MAESPS terus aktif sepanjang masa.
“Laman Padi itu akan dijadikan sebagai tapak agro-pelancongan yang kekal dan pusat latihan kepada peserta, penyelidik dan sebagainya.
“Kita melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diambil dengan menjadikan tapak MAEPS sebagai tapak kekal untuk mempromosikan aktiviti pertanian sepanjang tahun dan bukan ketika MAHA dilaksanakan.
“Jadi itu merupakan pendekatan baharu yang akan diambil maklum oleh MAFI untuk dijadikan MAHA sebagai ekspo yang lebih berprestij dan jadi ingatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) di MAEPS hari ini.
Terdahulu, Ronald menyampaikan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Pavilion Negeri Terbaik, Anugerah Segmen Paling Viral dan Anugerah Jualan Paling Tinggi kepada pempamer, pengunjung dan penjual di MAHA 2022.
Dalam masa sama, penghargaan juga diberikan kepada pengunjung MAHA 2022 buat pertama kali memperkenalkan Anugerah Istimewa kepada pengunjung MAHA ke 1,100,001.
Ia dimenangi oleh Yaakob Man@Othman, 67, merupakan pesara kerajaan yang berasal dari Pulau Pinang.
Tambah Ronald, bagi memastikan MAESP tidak lesu dan terus mengekalkan kehangatan MAHA 2022, pihaknya akan terus mempromosi sektor agro-pelancongan negara ini.
“Kita ada rumah kekal pavilion-pavilion negeri yang tentu sekali boleh dijadikan kerajaan negeri untuk mempromosi produk capaian yang ada daripada negeri-negeri ke maeps ini dan dijadikan sebagai tarikan pelancong dalam sektor agropelancongan.
“Langkah ini juga merupakan yang julung kali dilaksanakan oleh MAFI sejak MAHA dilaksanakan pada tahun 2006,” ujarnya – MalaysiaGazette