ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil peserta Himpunan ‘Mana Kapal LCS’  untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, daripada 60 peserta yang menyertainya, seramai 13 individu telah dikenal pasti.

Ujar beliau, perhimpunan yang diadakan lebih kurang pukul 2 petang tadi didapati melanggar undang-undang.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 60 orang terdiri daripada pertubuhan NGO, mahasiswa, ahli parti politik, beberapa individu dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan perhimpunan protes mana kapal LCS sambil memegang beberapa plakad dan kain rentang bertulis ‘Keselamatan Terancam Kesiapsiagaan TLDM Terjejas’; ‘H20 Letak Jawatan’; ‘Siasatan Di Mana Kapal!’; ‘Manakah Kapal LCS’ dan lain-lain lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Delhan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan tersebut diadakan di hadapan sebuah kompleks beli belah yang terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.

Dilaporkan antara yang hadir menyertai perhimpunan berkenaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast