khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dikatakan tersentak dengan cadangan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berhubung rundingan antara Pas dan UMNO di 27 kerusi Parlimen bagi mengelak pertembungan antara dua parti tersebut.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jika rundingan itu berjaya, ia adalah sesuatu yang negatif bagi PH.

“Namun, dalam kedua-dua parti sendiri pun terdapat pengkritik yang kurang bersetuju. Apa pun tugasan kita ialah melontarkan idea muafakat tanpa henti sebagai nasihat kepada umat.

“Terpulanglah pada pihak berkenaan untuk membuat keputusan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Mohd. Zuhdi turut mencadangkan agar 27 kerusi itu dinamakan ‘kerusi’ Muafakat Nasional (MN)’ sempena mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar MN.

Beliau juga yakin cadangan itu boleh dipersetujui oleh parti-parti komponen BN dan parti-parti komponen PN yang lain dan pada masa yang sama, UMNO dan Pas boleh membentuk jentera bersama di 27 kawasan Parlimen terbabit.

Mohd. Zuhdi turut menyuarakan kebimbangan bahawa kegagalan UMNO dan Pas bermuafakat di 27 kerusi tersebut boleh membuka ruang kepada PH untuk kembali berkuasa.

Antara kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PH pada PRU-14 ekoran pertembungan antara calon-calon Pas dan UMNO adalah Kangar, Kubang Pasu, Merbok, Kulim-Bandar Baharu, Tambun, Lumut, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Sepang, Setiawangsa, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Tangga Batu, Ledang, Muar, Sri Gading, Pasir Gudang dan Pulai.

Tujuh kerusi Parlimen yang menyaksikan calon-calon UMNO serta Pas menang tipis adalah Jerai, Baling, Kuala Kangsar, Tanjong Karang, Jasin, Pontian dan Labuan. – MalaysiaGazette