Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Minum Petang Pengamal Media Wanita Malaysia (PERTAMA) di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti bakal memberi penekanan kepada kebajikan rakyat.

Pembentangan bajet berkenaan juga bakal mengkhususkan kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Insya-Allah, pembentangan Bajet 2023 pada bulan Oktober akan terus member penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Minum Petang Pengamal Media Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri berkata,  jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak Covid-19.

Malah, pada suku pertama 2022 sahaja, nilai ini adalah hampir separuh bagi keseluruhan tahun 2021, iaitu melebihi RM24 bilion.

Terdahulu dilaporkan Kementerian Kewangan sudah memulakan program jelajah negeri Belanjawan 2023 di Johor dalam usaha mendapatkan pandangan dan cadangan di peringkat akar umbi, terutamanya rakyat, industri setempat dan kerajaan negeri.

Johor merupakan negeri yang pertama dikunjungi MOF dalam program jelajah itu. – MalaysiaGazette