Onn Hafiz ketika menyampaikan pelantikan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor  akan menyediakan  sejumlah peruntukan banjir dalam bajet 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, kerajaan Johor  memandang serius mengenai isu banjir kilat khususnya yang berlaku di bandar raya ini.

Peruntukan itu nanti akan digunakan untuk menyelenggara dan menambah baik kawasan titik panas (hotspot) itu yang kerap berlaku banjir kilat.

“Kita telah selaras 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat hotspot banjir dan kita akan beri peruntukkan untuk kawasan yang dinaiki dengan cepat dalam bajet tahun depan.

“Longkang-longkang akan dinaik taraf selain menampal kawasan jalan raya yang berlubang.

“Kita juga akan pastikan sistem saliran harus dibesarkan supaya aliran air ketika banjir kilat akan cepat mengalir,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan PBT  Negeri Johor di sini hari ini.

Beberapa kawasan di bandar raya Johor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat,  menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air dan lebih 500 kenderaan terjejas.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz pada hari kejadian meninjau kawasan terjejas dan berjanji akan mengambil langkah segera dan sesuai bagi mengatasi kejadian banjir kilat di bandar raya itu.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat itu disebabkan purata taburan hujan yang tinggi, mencecah ke paras 100 milimeter (mm) berbanding kebiasaan iaitu sekitar 20 mm.

Dalam pada itu, Mohd. Jafni berharap agar Ketua Whip dan Ahli Majlis PBT yang baharu dilantik mampu menjalankan tugas dengan sebaiknya dan berbakti kepada rakyat dalam menyelesaikan isu setempat. -MalaysiaGazette