Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada hari pertama prosiding rayuan akhir bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan rayuan terakhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini.

Proses rayuan itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi ahli Parlimen Pekan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Najib yang diwakili pasukan peguamnya, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, akan membangkitkan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Ia berkenaan pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Najib bagi semua tuduhan dan memutuskan supaya beliau dipanggil untuk membela diri.

Hari ini permulaan peluang terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan bagi mempertahankan dirinya bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 10 hari, mulai hari ini untuk mendengar rayuan terakhir Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.

Terdahulu, peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik tiba di Istana Kehakiman kira-kira jam 8 pagi tadi.

Kehadiran itu disusuli Najib yang menaiki kenderaan Mercedes Benz berwarna hitam diiringi polis pengiring kira-kira jam 9.08 pagi tadi.

Bagaimanapun hanya kira-kira 30 penyokong yang hadir memberikan solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu pada hari pertama proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast