asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Persepsi dan pelbagai naratif fitnah akan terus dicipta dan ditular selagi tindakan pendakwaan belum dilakukan terhadap isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, senario itu akan terus berlaku bagi menjatuhkan seteru politik terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Pemuda UMNO tetap berpendirian tegas agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara segera bertindak mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku sama ada pecah amanah, menipu, rasuah atau apa jua bentuk penyelewengan hingga menyebabkan kelewatan menyiapkan enam buah LCS.

“Isu ini adalah isu berkeutamaan tinggi kerana melibatkan aset-aset pertahanan dan keselamatan negara yang melibatkan wang rakyat yang sudah dibelanjakan sehingga RM6 bilion.

“Justeru, keutamaan harus diberikan untuk pihak SPRM segera menyelesaikan siasatan jika apa yang dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjurus kepada pembuktian bahawa wujud penyelewengan dan salah laku mana-mana individu termasuk berprofil tinggi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Pada 11 Julai lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap isu projek pembinaan LCS dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketika ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memanipulasi isu LCS untuk menyerang pemimpin-pemimpin UMNO khususnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 4 Ogos lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion. – MalaysiaGazette