Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pertemuan Perdana Menteri dengan wakil Perikatan Nasional pada waktu makan tengah hari itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya.

Oleh itu, katanya, kalau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum betul-betul berjumpa dengan wakil PN, kata saja belum jumpa.

”Walaupun acuan UMNO, jangan mudah menipu rakyat,” katanya yang menyifatkan kenyataan Ismail Sabri yang mendakwa telah bertemu dengan wakil PN adalah penipuan dan tidak beradab.

Wan Saiful mendakwa, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Majlis Presiden parti-parti dalam kerajaan.

Semua Presiden parti ada dalam Majlis Presiden itu.

”Itu barulah Perdana Menteri yang berani. Bercakap depan-depan secara rasmi, bukan sembang senyap-senyap waktu lunch.

”Apa yang Ismail takut sangat? Nak jumpa kawan segabungan secara rasmi pun tak berani? Atau ada perkara yang Ismail mahu sembunyi dan takut delegasi PN tanya?

“Maklumlah kita sudah tahu mengenai pelbagai skandal seperti LCS yang kena atas batang hidung pemimpin UMNO sekarang ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama PN dua minggu lalu.

Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen itu dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri hari ini berkata, beliau sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Perdana Menteri, selepas pertemuan 4 Ogos lalu.

Jelasnya, isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan Ismail Sabri.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pertemuan santai itu banyak berkisar kepada isu tertangguh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. – MalaysiaGazette