Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR – Projek pembangunan hartanah di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam adalah inisiatif berimpak tinggi yang direncana bersama kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Kedah.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, projek yang meliputi kawasan seluas hampir 11,800 ekar itu turut menyaksikan penglibatan secara langsung Kementerian Kewangan.

Kata beliau, projek pembangunan itu adalah melalui entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu Northern Gateway Sdn. Bhd. (NGX) selaku pemaju utama projek pembangunan hartanah Delapan, yang dahulunya dikenali sebagai Kota Perdana.

“Kawasan ini meliputi seluas 4,400 ekar atau 38 peratus dari jumlah keluasan keseluruhan SBEZ Bukit Kayu Hitam.

“Sehingga Jun lalu, projek pembangunan Delapan dalam kawasan SBEZ berjaya memeterai tiga perjanjian pelaburan strategik hartanah dengan nilai kumulatif RM7.2 bilion bagi beberapa projek.

“Antaranya, Projek Pembangunan Depoh Lori dan Pelepasan Dalaman oleh syarikat PKT Logistik Sdn Bhd (PKT) pada Disember 2019, Projek Pembangunan Kompleks Kilang Sarung Tangan Nitril Bersepadu oleh syarikat Hartalega Berhad (Hartalega) pada Mac 2021 dan Projek Ibusawat Pertukaran Internet (IX) dan Pusat Data pada Disember 2021,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.

Yamani Hafez, kerajaan akan terus menyokong pembangunan di kawasan tersebut sebagaimana yang telah direncanakan dan juga selaras dengan hasrat untuk menggalakkan sektor pelaburan serta merancakkan pembangunan ekonomi. – MalaysiaGazette