Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dalam lokap polis direkodkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II (KDN), Datuk Jonathan Yasin berkata, dari jumlah itu, tiga kes kematian disebabkan Covid-19, dua kes TB, tiga kes jantung dan empat kes lain-lain penyakit seperti paru-paru berair.

Katanya, bagi kes kematian disebabkan oleh gantung diri sebanyak dua kes, manakala lima kes lagi masih dalam status pending laboratory analysis.

“Antara langkah diambil polis untuk mengelakkan kematian OKT semasa dalam tahanan ialah menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM.

“Unit ini mula menjalankan fungsinya pada 1 Januari lalu selepas mengambil alih tugas yang sebelum ini digalas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya pada sesi menjawab Pertanyaan-Pertanyaan di Dewan Negara, hari ini.

Menurut beliau, langkah lain yang diambil kerajaan selain penubuhan USJKT ialah menjalankan pemeriksaan kesihatan atau fizikal ke atas OKT sebelum dimasukkan dalam lokap atau sekiranya ada aduan masalah kesihatan oleh pengadu.

Selain itu, mewujudkan Cardinal Health Unit (CHU) di lokap polis iaitu di Lokap Berpusat Bayan Baru, Pulau Pinang; Indera Mahkota, Pahang; Kepayang, Sabah; Jinjang, Kuala Lumpur; dan Shah Alam, Selangor.

Turut diambil langkah seterusnya, kata Jonathan, melaksanakan pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan kepada arahan SOP diikuti dalam lokap.

“Kita juga mengambil langkah memasang CCTV secara berperingkat di 684 lokap balai polis, ibu pejabat polis daerah dan kontijen bagi mengawasi dan memantau OKT di sel lokap demi memastikan kejadian yang tidak diingini berlaku dalam lokap.

“Di samping itu, kita turut melaksanakan Latihan dan Dalam Perkhidmatan (LDP) secara berkala kepada penjaga lokap yang bertugas dari segi kawalan keselamatan serta pematuhan.

Menjawab soalan tambahan, adakah kerajaan bercadang menubuhkan badan tribunal untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan, beliau berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette