Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempegerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi menentukan parti baharu yang akan menyertai BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Selain membincangkan status permohonan enam parti termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang ingin menyertai komponen Barisan Nasional (BN) – mesyuarat malam ini juga menyentuh pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dikendalikan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Mesyuarat yang sama turut dihadiri empat komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon.

Semalam, Mohamad dalam Konvensyen BN berkata, segala keputusan berhubung permohonan PBM mahu menyertai gabungan itu akan ditentukan secara konsensus dantara keempat-empat parti sedia ada dalam BN.

Difahamkan mesyuarat malam ini turut membincangkan mengenai pembahagian kerusi PRU-15.

Untuk rekod, PBM dilaporkan membuat permohonan menyertai BN bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu sebagai persediaan menghadapi PRU-15 pada Julai lalu.

Pada Jun lalu, PBM dilaporkan mengumumkan keputusan untuk melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden parti itu. – MalaysiaGazette