LCS BN
Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas naib pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Ia ekoran siasatan skandal kapal kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lelaki yang berusia hampir 80 tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah.

Skandal berhubung kapal tempur menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah melakukan siasatan beberapa tahun lalu dengan mengambil keterangan lebih 35 saksi berhubung projek mega tersebut. – MalaysiaGazette