RIYADH – Syarikat minyak gergasi Saudi Aramco telah memecahkan rekodnya sendiri dengan mencatatkan keuntungan AS$48.4 bilion untuk suku kedua 2022.
Ia merupakan peningkatan 90% tahun ke tahun dan menandakan pendapatan terbesar bagi pengeksport tenaga terbesar dunia sejak penyenaraian awamnya tiga tahun lalu.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menyaksikan harga minyak dan gas melambung tinggi.
Rusia adalah salah satu pengeksport terbesar dunia tetapi negara-negara Barat telah berjanji untuk mengekang kebergantungan kepada negara itu untuk keperluan tenaga mereka.
Menurut Bloomberg, angka keuntungansyarikat minyak Arab Saudi itu mewakili “keuntungan pelarasan suku tahunan terbesar bagi mana-mana syarikat tersenarai”.
Selain rekod keuntungan, gergasi tenaga Saudi milik kerajaan itu mengumumkan ia akan mengekalkan dividennya tidak berubah pada AS$18.8 bilion untuk suku ketiga dan terus berkembang untuk memenuhi permintaan.
“Walaupun turun naik pasaran global dan ketidaktentuan ekonomi kekal, peristiwa pada separuh pertama tahun ini menyokong pandangan kami bahawa pelaburan berterusan dalam industri ini adalah penting untuk memastikan pasaran kekal dibekalkan dengan baik dan memudahkan peralihan tenaga yang teratur,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Aramco, Amin Nasser.
Menurutnya, Aramco mnjangkakan permintaan minyak akan terus berkembang sepanjang dekad ini, walaupun tekanan ekonomi menurun pada ramalan global jangka pendek.
Harga minyak sudah meningkat sebelum perang Ukraine apabila ekonomi mula pulih daripada pandemik Covid-19 dan permintaan melebihi bekalan.
Pengeluar minyak terbesar dunia, termasuk ExxonMobil, Chevron dan BP, semuanya mencatatkan pendapatan besar tahun ini – membawa kepada peningkatan seruan kepada kerajaan untuk mengenakan cukai durian runtuh di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup yang membimbangkan.
Pada bulan Jun, Presiden Joe Biden berkata,Exxon telah membuat “lebih banyak wang tahun ini”.
Arab Saudi ialah pengeluar tunggal terbesar di OPEC, sebuah kumpulan yang mewakili pengeluar minyak terbesar dunia.
Minggu lalu OPEC+ bersetuju untuk meningkatkan sedikit pengeluaran dalam usaha membantu mengurangkan harga minyak yang tinggi.
Bagaimanapun, peningkatan pengeluaran erada pada kadar yang lebih perlahan berbanding beberapa bulan kebelakangan ini.
Keputusan itu merupakan tamparan kepada para pemimpin termasuk Biden, yang menggesa agar pengeluaran dipertingkatkan. – BBC