Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Bukit  Aman menafikan dakwaan seorang suspek warga Malaysia diberkas dalam kes dadah di Indonesia merupakan bekas pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, laporan stesen televisyen Indonesia itu tidak benar.

“PDRM mengesan sebaran klip video yang diambil dari berita TVOne (Indonesia) mengenai tangkapan seorang warganegara Malaysia oleh Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia dalam kes makmal memproses syabu di Sukajadi, Batam.

“Dalam laporan berita tersebut, warganegara Malaysia berkenaan didakwa merupakan bekas warga PDRM.

“Bagaimanapun, semakan PDRM Bukit Aman di sini mendapati suspek yang ditahan tersebut tidak pernah berkhidmat sebagai pegawai polis, sukarelawan polis atau polis bantuan,” katanya dalam menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Skandaguru, semakan rekod PDRM turut mengesahkan  suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan ugutan
kekerasan dan menyamar sebagai polis.

“Kini, PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes ini dan bersedia menyalurkan maklumat yang diperlukan dalam usaha membanteras jenayah narkotik,” tegasnya.-MalaysiaGazette