Bekas Pegawai Kanan Syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor hadir ke mahkamah bagi pendakwaan kes pembinaanKapal Tempur Pesisir (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan transaksi wang berunsur pecah amanah berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Tertuduh, bekas Pengarah Urusan Syarikat Perkapalan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (BNS), Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, 78, membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhannya dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain pagi tadi.

Ahmad Ramli yang juga bekas Naib Pengerusi Eksekutif BNS didakwa atas tiga pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu tertuduh berpakaian blazer hitam tiba ke mahkamah lebih awal sekitar jam 8 pagi bersama ahli keluarganya.

Mengikut fakta pertuduhan pertamanya, tertuduh sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. dan di dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut, iaitu kamu telah dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140.00 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited nombor 017-0251-064 EUR di Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Dalam pertuduhan keduanya, Ahmad Ramli didakwa sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. dan di dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut, iaitu kamu telah dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716.00 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd. nombor 503-027963-201 di The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, 65 Chulia Street, OCBC Centre, Singapore 049513 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Dalam pertuduhan ketiganya Ahmad Ramli juga didakwa sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. dan di dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut, iaitu kamu telah dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295.00 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd. nombor 017-0283-860 USD di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapore 049909 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di antara tarikh 26 Julai 2010 hingga 4 Mei 2011, di alamat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,17th Floor, Menara Boustead, 69 Jalan Raja Chulan, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Untuk ketiga-tiga kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguambelanya Mohd Yusof Zainal Abiden.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin mencadangkan wang jaminan berjumlah RM500,000 dengan seorang penjamin dan membayar wang cagaran RM200,000 dan memohon dua syarat tambahan ke atas tertuduh iaitu pertamanya tertuduh perlu dijamin oleh seorang penjamin warganegara tempayan dan dokumen pasport perlu diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan kes.

Hakim selepas mendengar hujah Wan Shaharuddin, membenarkan wang jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia terhadap tertuduh dengan pembayaran wang cagaran berjumlah RM200,000 selain disyaratkan pasport akan ditahan di mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Dalam pada itu beliau turut menetapkan 24 November 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan selepas Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah kedua-dua pihak mencadangkan tarikh tersebut memandangkan kes membabitkan serahan dokumen yang banyak untuk dipersiapkan dan memerlukan tempoh yang panjang bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, pihak peguambelanya Mohd Yusof Zainal Abiden telah menghantar satu representasi kepada jabatan Peguam Negara untuk anak guamnya dalam kes tersebut.-MalaysiaGazette