Mangsa diacukan pisau dan diikat sebelum tiga suspek melarikan pelbagai barang bernilai RM500,000. - Gambar hiasan.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Seorang pesara wanita mengalami kerugian kira-kira RM500,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di kediaman mewahnya di Lebuh Bukit Jambul pada Sabtu lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika mangsa berusia 70-an itu berada dalam salah sebuah bilik di kediaman tersebut.

Mangsa dikatakan didatangi tiga lelaki sebelum dua daripada mereka mengacukan pisau ke arah mangsa.

Difahamkan, suspek dikatakan mengikat kaki dan tangan mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk wang serta barang kemas yang bernilai RM500, 000.

Susulan itu, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, pihak polis berjaya memberkas dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Difahamkan, kedua-dua suspek tersebut diberkas di kawasan Sungai Nibong kurang dua jam selepas mangsa membuat laporan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan usaha mengesan rakan mereka yang terlibat masih giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette