khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Jambatan perpaduan yang menghubungkan Pas dan UMNO tidak sepatutnya ‘dibakar’ kerana ia mungkin diperlukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jambatan persaudaraan antara kedua-dua parti tidak pernah putus walaupun terdapat perbezaan pendapat dan pandangan.

“Kita bersama selangkah seiring berpimpin tangan membina politik baharu, politik generasi ke hadapan untuk anak cucu mendatang,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Ketika ini, hubungan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) semakin renggang dan keadaan menjadi bertambah panas apabila pemimpin-pemimpin dua parti berkenaan saling sindir menyindir secara terbuka.

Yang terkini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan UMNO sebagai ‘harimau kena tembak’ dan pada masa yang sama, mempelawa parti itu menumpang kekuatan Pas di Kedah pada PRU-15.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula menolak pelawaan itu dan secara sinis berkata, sebagai parti yang dilabelkan sebagai ‘itik patah kaki’ dan ‘harimau kena tembak’, UMNO tidak mahu ‘merosakkan’ Pas.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairuddin menasihatkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO agar tidak memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk kerana manusia diciptakan indah dan cantik.

“Elakkan serang menyerang yang membina persepsi. Bentangkan fakta secara ilmu dan dedikasi. Jangan sombong dan angkuh berbicara. Jangan menyindir yang keras dan pedas menghiris rasa,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielak, pilihan terakhir iaitu politik damai dan matang hendaklah digerakkan.

“Perlawanan adik beradik mencari yang terbaik. Persaingan sihat mesra rakan menawar khidmat kepada umat,” jelasnya. – MalaysiaGazette