ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang wanita diberkas polis selepas disyaki menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya dipercayai didera di Kepong semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Pangsapuri Mutiara Magna, Kepong di sini pada 15 Ogos lalu dan suspek merupakan ibu saudara kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan mengenai kematian kanak-kanak lelaki tersebut kira-kira pukul 12.01 tengah hari.

“Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang dilaporkan ada kematian kanak-kanak sebelum mendapati mangsa terbaring di atas katil dengan lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan lanjut ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan luka di dahi, mulut , hidung, kesan merah di bawah mata kiri, calar dan lebam pada bahagian belakang badan dan siku tangan kanan mangsa.

“Kematian mangsa disahkan oleh Pegawai Paramedik Hospital Kuala Lumpur yang turut berada di tempat kejadian selepas menerima panggilan awam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Eng Lai, polis kemudiannya menahan suspek yang berumur 40 tahun.

“Siasatan lanjut polis ke atas suspek mendapati wanita itu menjaga dua orang kanak-kanak iaitu mangsa dan abang mangsa yang berumur lima tahun.

“Suspek kini direman lima hari sehingga 20 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

Kes kini sedang disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette