KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa bersikap hipokrit ekoran tindakannya menari bersama pengarah filem kontroversi, Namewee dalam klip video ‘Katak’.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu dan bertanya sama ada beliau juga menari bersama Namewee ketika puluhan Ahli Parlimen dari UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
“Adakah Syed Saddiq menari bersama Namewee juga ketika puluhan Ahli Parlimen UMNO dan parti lain lompat masuk ke parti Bersatu kamu ketika kamu menteri dalam kerajaan PH dan menjawat sebagai ketua Armada?
“Ataupun lompat masuk parti kamu, kamu gembira. Okay sahaja. Mengalu-alukan.
“Tetapi bila lompat keluar parti baru kamu menari untuk kononnya membantah? Kecil-kecil lagi dah hipokrit,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengumumkan video klip yang memaparkan aksinya menari bersama Namewee melalui hantaran Facebook miliknya, semalam.
Pada penghujung video, bekas Menteri Belia dan Sukan itu muncul dengan menyampaikan ucapan bertemakan katak.
Seramai 14 Ahli Parlimen dari UMNO menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette