Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Hasil dapatan tinjauan pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas (HIES/BA) 2022 dijangka diterbitkan pada hujung Mac 2023.

Objektif HIES adalah untuk mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dan menyediakan statistik kemiskinan terutamanya kadar kemiskinan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan mengemas kini pendapatan garis kemiskinan (PGK) berdasarkan dapatan HIES/BA 2022 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Saya telah melancarkan HIES/BA 2022 di Sepang pada awal tahun ini. Tinjauan ini dilaksanakan selama setahun mulai Januari 2022 dan melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih.

“Ia akan mengambil kira pendapatan, perbelanjaan, pola permintaan dan harga barangan serta perkhidmatan termasuk kesan kenaikan kos sara hidup,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam membuat pengiraan semula nilai PGK dengan mengambil kira pendapatan, simpanan, pendidikan, kesihatan, dan dimensi lain rakyat setelah fasa peralihan ke endemik.

Mustapa berkata Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri juga mengumpul data kemiskinan berdasarkan sistem eKasih.

“Setakat 31 Julai 2022, kira-kira 136,923 isi rumah adalah miskin tegar dan 308,699 isi rumah dalam kategori miskin.

“ICU mengumpulkan data ini dengan kerjasama pejabat daerah dan kerajaan negeri. Data ini dimurnikan dari masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata nilai PGK telah meningkat kepada RM2,208 sebulan pada 2019 berbanding RM980 sebulan pada 2016.

Bagi PGK miskin tegar pula adalah sebanyak RM1,169 sebulan pada 2019 dan berdasarkan PGK tersebut, kadar kemiskinan mutlak adalah sebanyak 5.6 peratus dan miskin tegar adalah sebanyak 0.4 peratus pada 2019.

“Kesan pandemik COVID-19 telah menyebabkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar meningkat kepada 8.4 peratus dan 1.0 peratus masing-masing pada 2020,” katanya.

Satu lagi konsep pengukuran kemiskinan, iaitu kemiskinan relatif yang mengukur bilangan isi rumah berpendapatan di bawah 50 peratus pendapatan penengah, iaitu sebanyak RM5,209 sebulan.

Berdasarkan konsep ini, kadar kemiskinan relatif negara adalah sebanyak 16.2 peratus pada 2020.

Di samping itu, kerajaan juga turut mengukur kemiskinan menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) bagi mengambil kira dimensi-dimensi ketersisihan yang lain seperti pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan pendapatan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast