Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menampung kos subsidi berjumlah RM5.8 bilion berikutan tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini kepada semua pengguna di Semenanjung.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jumlah itu sepatutnya dibayar oleh pengguna jika subsidi tersebut dilepaskan.

Susulan tiada kenaikan tarif elektrik, pengguna membayar pada kadar sama  seperti sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

“Semakan pelarasan tarif elektrik di bawah Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang berikutnya akan dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

“Berdasarkan analisis daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan antara Rusia dan Ukraine sejak Mac lalu dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara luar.

“Oleh itu, kementerian telah merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga dan kos ICPT yang dijangka meningkat,” katanya menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Takiyuddin, antara pelan mitigasi itu ialah mengutamakan bahan api yang paling murah untuk penjanaan elektrik.

Katanya, kementeriannya akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.

Selain itu, kementerian itu juga menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara.

“Antaranya dengan meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus pada 2035 sebagaimana sasaran ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER).

“Seterusnya, kementerian juga akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat.

“Sebagai langkah awal, mulai Julai ini, jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh kerajaan telah dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna supaya rakyat memahami dan menghargai subsidi ditanggung kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan,” katanya.

Menurut Takiyuddin lagi, kementeriannya juga meneruskan kerjasama dengan kementerian lain yang berkaitan, ST, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ini katanya, supaya dapat meneruskan usaha kempen kesedaran dan penjimatan penggunaan elektrik di media sosial, media cetak dan lain-lain platform yang bersesuaian sebagai langkah memupuk penggunaan tenaga elektrik yang cekap di kalangan pengguna.

“Kita harapkan dapat membantu mengurangkan kos operasi syarikat serta perbelanjaan isi rumah, terutama ketika negara dan dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi pada masa ini,” katanya.

Mengenai ICPT, menteri itu menjelaskan, pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme berkenaan disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

Dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

Namun begitu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 Jun lalu telah mengumumkan pengekalan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan pengekalan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast