Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Srikandi Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Satu perjumpaan akan diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta enam wanita Malaysia berhubung isu kewarganegaraan anak-anak mereka.

Jelas timbalan menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, ia bagi berbincang dengan wakil Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta kesemua ibu terbabit. 

“Insya-Allah Khamis ini, Datuk Seri Wan Junaidi akan berjumpa dengan mereka untuk membentangkan cadangan tentang perkara-perkara yang boleh dibawa kepada penambahbaikan termasuklah ada pindaan yang akan dibuat.

“Supaya ia boleh dibawa kepada jawatankuasa khas untuk dibincangkan isu kewarganegaraan ini,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Sebelum ini, Family Frontiers dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mahu memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan dari segi undang-undang.

Untuk rekod, pada 9 September 2021, kedua-dua pihak berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu. – MalaysiaGazette