Dr. Nooh Gadot

KUALA LUMPUR – Mantan Mufti Johor, Datuk Dr. Mooh Gadot dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Pelantikan berkuatkuasa 30 Jun lalu itu diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 pada hari sama berkenan dengan pemilihan Nooh untuk mengetuai MKI.

Watikah pelantikannya telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang juga Setiausaha MKI, mengalu-alukan pelantikan Nooh dan amat berbesar hati dengan penyertaan tokoh agama itu.

Katanya, pelantikannya berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti beliau sebagai Mufti Johor sebelum ini serta penglibatan secara langsung dalam institusi kefatwaan, khususnya hal berkaitan isu semasa di negara ini.

“Jakim menaruh keyakinan beliau akan dapat membantu mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, Jakim juga mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh atas sumbangannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI sejak Oktober 2017. – MalaysiaGazette