Piala FA edisi musim ini akan berlangsung di SNBJ 10 September ini. Kredit foto MFL

KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata, sepak mula perlawanan akhir edisi ke-32 itu akan bermula pukul 9 malam pada 10 September ini.

Kata beliau, sebelum ini, temasya edisi FA bagi musim 2020 dan 2021 telah ditangguhkan oleh pihak pengurusan badan kawal selia bola sepak tempatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan akibat penularan Covid-19 mulai 18 Mac 2020.

Menurutnya, MFL telah mempertimbangkan beberapa venue tambahan bagi menetapkan stadium tetap sebelum mendapat kelulusan daripada daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini untuk melangsungkana aksi final Piala FA di SNBJ.

“Ia selepas MFL serta pihak pengurusan TFC dan JDT telah membuat lawatan ke SNBJ dan melakukan pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu menjelang final Piala FA.

“Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang dan MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM yang meluluskan permohonan untuk SNBJ digunakan sebagai gelanggang final Piala FA tahun ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Stuart, bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Malah pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

Jelasnya, pihak MFL sudah mengadakan perbincangan dengan wakil PSM sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang SNBJ dan kami dimaklumkan bahawa SNBJ bersedia untuk menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.

“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.

“Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.

“Selain itu, MFL juga telah menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti.

“Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.

“MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum bahawa SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini,” katanya.

Mengikut perancangan awal, MFL ingin mengadakan aksi final itu pada 27 Ogos 2022 namun dengan mengambil kira penglibatan JDT di pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 bertemu kelab Jepun, Urawa Reds bagi pusingan 16 pasukan terbaik pada 19 Ogos 2022 maka perubahan tarikh terpaksa dilakukan.

Jika kelab Harimau Selatan itu berjaya mengatasi Urawa Reds, mereka akan beraksi di suku akhir pada 22 Ogos 2022 manakala separuh akhir pada 25 Ogos ini.

Justeru MFL menetapkan tarikh final Piala FA pada 10 September 2022 bagi memastikan semua perancangan dan persediaan yang diperlukan untuk kedua-dua pasukan yang mengambil bahagian di dalam perlawanan akhir tersebut dan juga semua organisasi dan agensi berkaitan yang terlibat dalam pengelolaan perlawanan akhir Piala FA lebih jelas dengan tarikh yang diputuskan.

Dengan itu, MFL telah membincangkan pilihan yang ada, kekangan yang dihadapi dan ketidakpastian perancangan itu dan juga mendapat pandangan kedua-dua pasukan mengenai keperluan penyediaan pasukan maka TFC dan JDT bersetuju untuk perlawanaan akhir Piala FA dimainkan pada 10 September 2022.

Berikutan tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022 ditetapkan pada 10 September 2022 maka MFL terpaksa mengemaskini semula jadual Liga Super dan Liga Premier musim ini.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA 2022, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

Pada Edisi 2019, Kedah FC menjulang Piala FA setelah menewaskan Perak FC dengan 1-0 setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga 90 minit pertama sebelum pemenang ditentukan menerusi aksi masa tambahan. – MalaysiaGazette