najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu mempercayai dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob takut berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Wan Saiful yang merupakan penulis manifesto Pakatan Harapan (PH) dikatakan tidak pernah penat mendesak Ismail Sabri untuk memberi jawatan kepada mereka.

“Bila si pembohong buka mulut, rasa nak muntah dan loya tekak saya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Dalam kenyataannya semalam, Wan Saiful menuduh Ismail Sabri sebagai penipu dan tidak beradab apabila menyatakan telah melakukan pertemuan dengan delegasi PN.

Najmil Faiz mengingatkan kembali bahawa Wan Saiful pernah mengakui beliau tidak cukup data ketika menulis manifesto PH.

“Jadi main tulis hentam buta sahaja ke? Biar seluruh negara tertipu dengan manifesto kamu. Kini, dia cuba berbohong lagi,” dakwanya.

Beliau percaya pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk Wan Saiful akan terus ‘meroyan’ apabila masih tidak mendapat jawatan setelah berulang kali berjumpa dengan Ismail Sabri.

Najmil Faiz kesal dengan sikap mereka yang seolah-olah tiada langsung mempunyai perasaan simpati terhadap kesusahan dan penderitaan rakyat.

“Ketika Perdana Menteri bertungkus-lumus meningkatkan serta membangunkan ekonomi negara, puak-puak seperti ini terus bersikap oportunis.

“Jaga sahajalah parti kamu. Kata PN akan menang besar. Kita tunggu sahaja gelanggang dibuka,” katanya.

Beliau menyarankan agar Ismail Sabri tidak melayan puak yang oportunis dan pembohong itu serta menumpukan usaha membangunkan negara.

Sementara itu, dalam hantaran Facebook yang lain, Najmil Faiz berkata, dasar-dasar ekonomi yang cekap dan strategik dilaksanakan Ismail Sabri telah membuahkan hasilnya.

Beliau memberitahu, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang tinggi serta disokong pemulihan pasaran pekerja.

“Tuduhan ekonomi negara sedang tenat adalah dakwaan yang tidak masuk akal dan membuktikan pembangkang sudah kehabisan modal politik,” jelasnya.

Najmil Faiz menambah, tindakan kerajaan membuka sektor ekonomi dan sokongan dasar kerajaan seperti inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2022 telah berjaya memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“Lebih mengejutkan apabila peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia jauh mengatasi Amerika Syarikat (1.6 peratus). Singapura (4.4 peratus) dan China (0.4 peratus).

“Angka dan data ini menjadi bukti kecekapan Perdana Menteri dalam mentadbir negara dan beliau harus diberi ruang mentadbir mengikut coraknya sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette