isham jalil
Isham Jalil

RAFIZI Ramli memang dikenali dengan kehebatannya memutarbelitkan fakta bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN). Yang paling teruk jadi mangsanya sejak dari dahulu hingga sekarang ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pelbagai isu direka oleh Timbalan Presiden PKR itu dan diulang-ulang seolah-olah apa yang ‘digoreng’ oleh beliau kononnya betul lagi sahih. Walhal hakikatnya tidak begitu.

Kita semua masih ingat lagi dengan janji Rafizi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu bahawa beliau ada ‘formula’ untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Maka, ramai rakyat Malaysia yang gembira apabila PH menang kerana menyangka mereka akhirnya dapat membeli minyak pada harga yang rendah. Namun, kegembiraan itu tidak berpanjangan kerana harga minyak tidak pun turun sehingga RM1.50 seliter.

Selepas gagal mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018, Rafizi kemudian ‘masuk gua’ dan menyepikan diri selama hampir empat tahun.

Beliau muncul semula menjelang pemilihan PKR tahun ini dan mula memanipulasi isu Sapura Energy untuk menyerang Najib dan BN. Bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil pernah mencabar Rafizi berdebat tetapi Rafizi seolah-olah cuba mengelak.

Setelah bergelar orang nombor dua PKR, Rafizi sekali lagi menyerang BN dan Najib dengan memutarbelitkan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS). Sekali lagi, Isham yang kini menyandang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencabar Rafizi berdebat tentang isu itu dan sekali lagi bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengelak.

rafizi ramli
Rafizi Ramli

Dalam ciapan Twitter miliknya semalam, Rafizi memberi alasan beliau hanya ingin berdebat dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sahaja.

“Saya debat dengan Tok Mat la Timbalan Presiden UMNO, buat apa nak debat dengan BBNU lantikan,” katanya. Istilah ‘BBNU lantikan’ itu dipercayai ditujukan kepada Isham.

Dalam dialog bersama pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Larut semalam dan dirakam dalam video yang disiarkan melalui Facebook hari ini, Isham mendakwa, Rafizi takut berdebat dengannya kerana bimbang putar belitnya terbongkar.

Contohnya, Rafizi tidak menyentuh fakta bahawa pembinaan LCS tergendala ekoran keputusan kerajaan PH menangguhkan projek tersebut pada 2019 bagi membolehkan audit forensik dilakukan.

Begitu juga dengan kegagalan kerajaan PH membantu Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk meneruskan projek LCS setelah syarikat itu ‘sakit’ semasa mereka memerintah. Mungkin ketika itu Rafizi tidak sedar kerana beliau berada di dalam ‘gua’.

Isham turut mengingatkan Rafizi bahawa bukan tarafnya untuk berdebat dengan Mohamad. Katanya, “Kita punya level Timbalan Presiden tak sama dengan level Timbalan Presiden PKR. Kita ni nak naik ke Presiden, Timbalan Presiden bukan senang macam dia tu.”

Setelah PH gagal menunaikan janji menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 seliter, rakyat Malaysia tidak lagi percaya dengan dakyah dan formula songsang Rafizi. Kalau ada yang percaya pun, hanyalah penyokong-penyokong tegarnya.

Rafizi juga seolah-olah mudah ‘tersentap’ jika janji harga minyak RM1.50 seliter dibangkitkan. Cubalah komen tentang janji palsu itu dalam Facebook dan Twitter. Terdapat kebarangkalian anda akan disekat daripada mengikuti atau membaca temberang Rafizi dalam media sosial tersebut. – MalaysiaGazette