PUTRAJAYA – “Kami telah berhujah menggunakan fakta yang cukup kukuh, saya fikir mahkamah akan bersimpati dengan keadaan kita dan mempertimbangkan permohonan ini, tetapi malangnya ini tidak berlaku,” kata peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik.
Hari ini, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu memasukkan bukti baharu serta cubaan menangguhkan prosiding akhir rayuan berkaitan penyelewengan dana SRC International.
Ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah selepas keputusan yang dibacakan oleh Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hisyam berkata, beliau seperti hilang kata-kata.
“Saya sungguh kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan kami memasukkan bukti baharu dalam prosiding rayuan akhir ini. Sejak dua hari ini, kita telah berhujah dengan begitu baik sekali dengan hujah kuat, tetapi mahkamah tetap tidak terima hujah kita.
“Kedua, saya kecewa apabila mahkamah berpendirian untuk menolak permohonan penangguhan kita walaupun kita sudah memberikan notis lebih awal sekitar Julai bulan lalu.
“Bahawasanya pasukan baharu peguam bela akan bersedia dalam prosiding rayuan yang bukan biasa-biasa atau mudah. Ia mempunyai beribu muka surat yang perlu kami teliti satu per satu, penghakiman serta bahan eksibit.
“Kita dengan rendah diri dan ikhlas memohon supaya permohonan kami mendapat pengadilan saksama,” katanya disamping Najib dan peguambela, Datuk Seri Zaid Ibrahim.
Kata Hisyam, pihaknya akan membuat keputusan tentang tindakan seterusnya selepas mahkamah akan memulakan prosiding pada Khamis ini. – MalaysiaGazette