Peguam, Hisyam Teh Poh Teik hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan akhir yang melibatkan anak guamnnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan ditangguhkan sebentar pagi ini bagi memberi laluan kepada lima panel hakim membuat keputusan berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mahu memasukkan beberapa bukti baharu dalam prosiding rayuan akhir penyelewengan dana SRC International.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat penangguhan sejurus selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan sebentar tadi.

Terdahulu ketika berhujah, peguambela utama yang mewakili Najib, Hisyam Teh Poh Teik berkata, permohonan yang dikemukakan bekas Perdana menteri itu tidak bersifat hear say, sebaliknya permintaan itu cukup relevan.

“Sebenarnya kita tidak pertikai peranan atau jawatan dipegang oleh Hakim Mohd Nazlan, sebaliknya apakah sebenarnya tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh beliau?

“Untuk makluman, sebelum-sebelum ini banyak kes yang mana hakim mendengar itu menarik diri apabila mempunyai sebarang konflik kepentingan, antara kes-kes ini termasuklah sivil 1MDB dan SRC.

“Walaupun kita akui jawatan hakim dalam Maybank itu berada dalam domain awam tetapi mengapakah Hakim Mohd Nazlan tidak mendedahkan sendiri perkara ini. Itu adalah tanggungjawab beliau.

“Kerana itu juga kita mempunyai syak wasangka, mungkin wujud tindakan berat sebelah dari pihak beliau,” katanya.

Sementara itu, pasukan pendakwaan memohon panel hakim menolak afidavit Najib melalui permohonan notis usulnya bagi memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam permohonan notis usulnya, Najib memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.

Prosiding bersambung – MalaysiaGazette