Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN –  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal perolehan senjata Kementerian Pertahanan serta perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kelemahan serius Kementerian Pertahanan memberi kesan buruk kepada keselamatan selain menimbulkan ancaman dalaman kepada kedaulatan negara.

Jelas beliau, isu ini lebih mendesak pada masa kini memandangkan ketegangan keselamatan di Laut Cina Selatan dan penyusunan semula kuasa politik di rantau ini.

Kata Mohideen, sejak 1980-an lagi Kementerian Pertahanan telah terjerumus di dalam skandal pemerolehan yang masih berterusan sehingga kini.

Antara skandal tersebut pembelian 26 unit kereta kebal British Alvis Scorpion; 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia, dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta terpakai keluaran kerajaan Perancis pada harga RM4.5 bilion serta terbaharu skandal LCS.

“Semua skandal yang diketengahkan menunjukkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan dalam perolehan perkakasan dan sistem keselamatan bukan sekadar kes ‘epal buruk’ tetapi masalah sistemik dalam kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Ia mempersoalkan integriti institusi keseluruhan pemerolehan dan proses pengurusan keselamatan serta secara serius menjejaskan keberkesanan dan kesediaan berperang pasukan keselamatan kita dalam melindungi negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal perolehan senjata oleh Kementerian Pertahanan yang menjangkau tempoh 40 tahun.

“RCI tersebut harus membuat cadangan untuk mekanisme tadbir urus dan pengawasan yang lebih berkesan bagi menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, CAP juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung menyah-klasifikasikan laporan rahsia mengenai perolehan tentera bagi membolehkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mendakwa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah tersebut.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyerahkan kertas siasatannya kepada Peguam Negara berhubung skandal LCS. Beliau perlu bertindak segera untuk membawa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah ini tanpa mengira status dan pangkat ke muka pengadilan.

“Dengan itu, ia akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap proses kehakiman,” jelas beliau. – MalaysiaGazette