SUNGAI PETANI – Seramai 16 murid dan pemandu bas van sekolah cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban dalam parit dalam kejadian di Taman Rhu, Tikam Batu, di sini, hari ini.
Kejadian jam 7.35 pagi itu turut mengakibatkan seorang murid perempuan patah tangan kanan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu serta BBP Sungai Petani dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati sebuah van sekolah dipercayai terbabas sendiri sebelum terhumban dalam parit yang terletak di bahu jalan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seramai 17 mangsa termasuk pemandu cedera akibat kejadian dan tiada mangsa tersepit dalam van tersebut.
“Pemandu lelaki berusia 50 tahun itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala, seorang murid perempuan patah tangan kanan manakala 15 murid berusia tujuh hingga 12 tahun cedera ringan.
“Kesemua mangsa diberikan bantuan awal sebelum dihantar ke hospital dengan bantuan pihak kami serta ambulans,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.48 pagi tadi. – MalaysiaGazette