Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke 50 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat keputusan berkenaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, beliau telah membawa cadangan tersebut ke mesyuarat Kabinet hari ini.

Jelasnya, cadangan itu perlu melalui proses yang ditetapkan khususnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

“Seperi yang saya janjikan Dewan Negara semalam bahawa saya akan bawa cadangan tubuh RCI ke Kabinet, saya telah lakukannya.

“Ianya masih dalam proses melibatkan semua pihak khususnya menteri-menteri, saya tidak boleh dedahkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Menteri tapi ianya mesti disembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong.

“Bila kita sudah dapat rumusan dan pendirian yang jelas untuk dipersembah kepada Seri Paduka untuk mendapatkan pandangan baginda,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan hari ini.

Tambah Hishammuddin, meskipun banyak yang telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai LCS namun beliau tidak boleh mendedahkannya.

Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menolak perbincangan mengenai cadangan penubuhan RCI  akan berlanjutan sehingga ke mesyuarat Kabinet akan datang.

“Semua tahu Agong berada di luar negara sekarang dan apa yang dibincangkan masih dibincangkan mungkin akan dibincang lagi pada masa akan datang

“Proses menjawab isu ini juga akan diteruskan di pelbagai platform seperti semalam saya menjawab isu ini di Dewan Negara dan keputusan untuk RCI juga biarlah melalui proses tugas saya hanya membawa ke Kabinet dan kita masih dalam perbincangan,” katanya lagi.

Sementara itu Hishammuddin menegaskan pendiriannya seperti sebelum ini yang tidak akan berpihak kepada individu didapati bersalah terhadap mana-mana perbuatan salahguna kuasa berkaitan LCS.

Mengulas mengenai pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam, beliau menyerahkan proses siasatan dan tindakan selanjutnya terhadap pihak berkuasa.

“Saya sebut dahulu lagi pendirian saya konsisten siapa yang salah tetap salah termasuk diri saya tetapi dalam nak mencari keadilan saya harap proses mesti dijalankan, saya percaya pihak berkuasa telah buat siasatan berhubung individu yang telah didakwa semalam dan mungkin ada lagi mereka yang dalam siasatan itu saya serah kepada pihak SPRM dan Peguam Negara untuk ambil tindakan selanjutnya.

“Bagi saya, perkara yang ada kaitan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa sekiranya ada unsur rasuah tetap akan dapat keadilan tidak siapa yang harus terkecuali yang patut didakwa sekiranya proses mendapati dan cukup bukti ini bukan saya yang tentukan,” tambahnya.

Semalam, bekas Pengarah Urusan Syarikat Perkapalan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (BNS), Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berhadapan dengan tiga tuduhan  pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek LCS pada 2010 dan 2011.

Ahmad Ramli yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette