William Chiang menyerahkan replikas sumbangan biasiswa kepada wakil pengurusan Universiti Malaya, Prof. Madya Nahrizul Adib Kadri.

KUALA LUMPUR – Untuk buat pertama kali syarikat fesyen ternama, CRG Incorporated Berhad, atau lebih dikenali sebagai Carlo Rino telah memberi tajaan biasiswa berjumlah RM50,000 kepada Universiti Malaya.

Sumbangan itu berbentuk biasiswa kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

”Carlo Rino mendapati terdapat pelbagai cabaran yang sedang dihadapi oleh pelajar di waktu pasca pandemik ini.

“Maka besar harapan kami sokongan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban pelajar yang memerlukan bantuan untuk menyambung pengajian serta menaikkan semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan tanpa kerisauan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan CRG, Datuk Seri William Chiang.

Tajaan biasiswa Carlo Rino Charity Fund menyasarkan kepada lima orang yang pelajar tidak berkemampuan dari segenap lapisan masyarakat, khususnya untuk pelajar ijazah sarjana muda yang mempunyai kemahiran atau kecenderungan tinggi di dalam seni kreatif.

Bermulanya di Singapura, Carlo Rino adalah antara jenama fesyen yang tidak asing lagi terutamanya di negara Asia Tenggara.

Dengan rekaan yang inovatif dan mengujakan, Carlo Rino sentiasa berada di hadapan dengan berbagai rangkaian beg tangan dan kasut yang sering digemari semua.

Dalam pada itu, Universiti Malaya amat mengalukan dan sangat menghargai sokongan yang dihulurkan oleh rakan industri seperti usaha Carlo Rino dalam memberi bantuan kewangan yang berimpak kepada golongan mahasiswa yang memerlukan. – MalaysiaGazette