Ahmad Fadhli Shaari (kiri)

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sepatutnya berterima kasih kepada Pas kerana mengajak pengundi Pakatan Harapan (PH) untuk memilih parti itu di Pahang.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dengan ajakan itu sokongan dan undi terhadap PH akan berkurangan pada pilihan raya nanti, sekali gus menambah undi kepada BN.

Ahmad Fadhli juga berkata, BN tidak perlu bimbang kerana beliau masih belum meminta pengundi-pengundi BN untuk memilih Pas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak menolak kemungkinan akan mempelawa pengundi BN untuk bersama-sama Pas di Pahang pada pilihan raya nanti.

“Sepatutnya kena terima kasih kepada saya kerana yang diajak ubah sokongan ialah pengundi PH, dengan sendirinya undi PH akan berkurangan jika ia disahut.

“Saya belum mengajak pengundi UMNO/BN ubah sokongan lagi, jadi tak perlulah bimbang.

“Tidak ditolak kemungkinan bahawa selepas ni sudah pasti kita ajak pengundi BN pula,” kata Ahmad Fadhli.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyelarnya kerana meminta pengundi PH untuk bersama-sama menumbangkan BN di Pahang.

Ahmad Fadhli berkata, beliau tidak nampak sebarang masalah dengan pelawaan yang dilakukan.

Ini kerana, dia hanya meminta pengundi PH untuk memilih Pas dan bukannya dia mengajak parti itu untuk melakukan kerjasama.

Tambahan pula, UMNO dan PH di Kelantan sudah berceramah ‘sepentas’ untuk menyerang kerajaan negeri pimpinan Pas.

Menurut Ahmad Fadhli lagi, tindakannya sama seperti yang dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu merampas Kelantan dan Terengganu daripada Pas.

“Lagi satu, kenyataan saya itu sama sahaja nadanya dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang menyebut bahawa BN tekad ambil balik Kelantan dan BN yakin Terengganu dalam genggaman.

“Ada posternya. Cuma ayat ‘lilitan serban besar tapi cakap tak betul’ itu sahaja tiada posternya, tapi ada videonya,” kata beliau yang menyertakan pautan video dan poster berkenaan di Facebooknya.

Asyraf Wajdi sebelum ini berkata, tidak mustahil untuk parti Pas kembali kepangkuan PKR dan DAP kerana ketiga-tiga parti itu pernah melakukan kerjasama dalam Pakatan Rakyat untuk mengalahkan UMNO.

Beliau berkata, berdasarkan rekod bagaimana parti itu meninggalkan UMNO untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) maka adalah tidak mustahil untuk Pas kembali bersama dengan DAP dan PKR.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Asyraf Wajdi selepas Ahmad Fadhil meminta supaya penyokong PKR dan DAP mengundi parti itu di Pahang pada pilihan raya akan datang.-MalaysiaGazette

Tidak mustahil Pas bersatu dengan PKR, DAP – Asyraf Wajdi