Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) menemukan lima kelemahan dalam pelaksanaan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Sekretariat JKSTUPKK berkata, kelemahan pertama melibatkan pemilihan reka bentuk, Sistem Pengurusan Tempur dan dan sebahagian peralatan utama LCS dibuat berdasarkan syor serta pandangan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) dan bukan sepenuhnya daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir.

Selain itu, penilaian wajar yang komprehensif tidak dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (Kementah) bagi menilai keupayaan BNS untuk melaksanakan kontrak pembinaan LCS.

“Kelewatan projek sejak tahun 2015, meliputi rekabentuk asas dan rekabentuk terperinci yang sehingga kini masih belum dimuktamadkan; isu perolehan peralatan, lukisan pengeluaran, kekurangan tenaga kerja, jurutera tidak mahir, masalah kerjasama dengan Naval Group dan penghantaran kit keluli yang lewat diterima serta masalah kecairan dan hutang yang tinggi ditanggung oleh BNS.

“Kegagalan untuk memuktamadkan isu pertukaran peralatan Sistem Pengurusan Platform Bersepadu (IPMS) dan Sistem Pelancaran Umpan (DLS) serta Jadual Pelaksanaan yang berlarutan sehingga kini menyebabkan impak kos yang tinggi dan tambahan masa yang panjang akan ditanggung oleh kerajaan. Juga, terdapat tuntutan kos bagi peluru berpandu permukaan ke permukaan.

“Kontrak lewat ditandatangani; bon pelaksanaan terkurang dikutip dan tempoh kuatkuasakan bon tidak mengikut kontrak serta isu had ganti rugi jumlah tertentu (LD) dalam kontrak,” jelas jawatankuasa berkenaan dalam ringkasan eksekutif laporan siasatan pembekalan enam buah LCS kepada TLDM bertarikh 20 Ogos 2019.

Laporan penuh siasatan JKSTUPKK mengenai isu projek LCS yang dinyahklasifikasi boleh dicapai melalui portal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mulai hari ini.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan turut dianggotai Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Tan Sri Dr. Abdul Samad Alias, Datin Paduka Ong Swee Leng, Datuk Samarajoo Manikam, Datuk Seri Akhbar Satar (mulai Mei 2019) dan Dr. Zulqarnain Lukman (Julai 2018 – Julai 2020).

JKSTUPKK turut mengesyorkan enam perkara sekiranya Kementah, TLDM dan BNS ingin meneruskan kontrak LCS yang antaranya termasuk memuktamadkan segera pertukaran peralatan IPMS, DLS dan pelanjutan tempoh kontrak bagi mengelakkan peningkatan kos dan tambahan masa menyiapkan pembinaan kapal-kapal tersebut.

Di samping itu, BNS perlu menyiapkan dan memuktamadkan segera rekabentuk terperinci manakala Pegawai Pengawal hendaklah mengenakan kawalan ketat ke atas bayaran kemajuan kepada BNS supaya sumber kewangan kerajaan hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS sahaja.

Syor lain daripada jawatankuasa tersebut adalah BNS meningkatkan amalan tadbir urus pengurusan kewangan dan perolehan peralatan bagi memastikan harga diperolehi adalah nilai untuk wang bagi kerajaan.

“Kementah memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya had dalam LD tidak dimasukkan dalam Kontrak Tambahan supaya LD dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang lewat.

“Kajian faedah kos dilaksanakan bagi mengelakkan kos projek terus meningkat dan kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya,” kata JKSTUPKK.

Jawatankuasa berkenaan menambah, sekiranya kerajaan berhasrat menamatkan kontrak, Kementah perlu mematuhi klausa-klausa yang terkandung dalam kontrak dan mempertimbangkan tiga perkara.

“Sejumlah RM5.94 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan tetapi setakat 31 Mei 2019, prestasi pembinaan bagi lima LCS hanya antara 1.55 peratus hingga 36.75 peratus dan LCS 6 masih belum bermula pembinaan.

“Pencapaian fizikal keenam-enam buah LCS tersebut masih berbaki antara 63.25 peratus hingga 100 peratus, adalah dijangkakan baki peruntukan kewangan sebanyak RM3.19 bilion (RM9.13 bilion tolak RM5.94 bilion) tidak dapat menampung untuk menyiapkan sepenuhnya pembinaan keenam-enam buah LCS tersebut.

“Kedudukan aliran tunai BNS setakat 31 Mei 2019 dilihat amat lemah dengan hutang bank sebanyak RM956.89 juta dan hutang kepada pembekal dan pengeluar peralatan asli (OEM) sebanyak RM801.11 juta,” jelasnya.

Sehubungan itu, JKSTUPKK berpendapat, kerajaan wajar mempertimbangkan Opsyen 1 iaitu meneruskan kontrak.

Namun, JKSTUPKK mencadangkan agar Kementah membentangkan segera semua penemuan siasatan itu, implikasi kewangan kerajaan dan hala tuju projek berkenaan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan Jemaah Menteri mempertimbangkan dan membuat keputusan yang terbaik mengenai hala tuju pembinaan enam buah LCS tersebut.

Jawatankuasa tersebut turut memaklumkan, perolehan enam buah LCS dengan had bumbung asal berjumlah RM9 bilion dan dipinda kepada RM9.13 bilion dilaksanakan secara rundingan terus kepada BNS dengan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

Menurut JKSTUPKK, setakat 31 Mei 2019, kemajuan keseluruhan pelaksanaan kontrak adalah sebanyak 53.29 peratus berbanding 74.73 peratus mengikut perancangan atau kelewatan 23 bulan.

Jelasnya, Kementah telah membuat pembayaran sebanyak RM5.94 bilion atau 65.03 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.

Pada 4 Ogos lalu, PAC mendedahkan, BNS masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion. – MalaysiaGazette