Lokman Adam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi amaran terakhir kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana melakukan penghinaan mahkamah ketika prosiding rasuah Yayasan Akal Budi.

Untuk makluman Yayasan Akal Budi diasaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga sedang berdepan tuduhan rasuah.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menerima permohonan maaf Lokman tanpa syarat pada prosiding petang tadi.

Beliau turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Isu ini (penghinaan mahkamah) serius. Lokman sudah memohon maaf, ini amaran terakhir. Mahkamah tidak akan mengenakan apa-apa tindakan terhadapnya,” katanya.

Terdahulu ketika prosiding, Lokman dari kandang saksi membuat permohonan maaf.

“Saya minta maaf kerana saya tidak faham undang-undang. Saya memohon maaf tanpa syarat kepada mahkamah dan semua pihak dengan sesuci hati.

“Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya akan patuhi peraturan ditetapkan jika saya masuk mahkamah pada masa lain,” katanya.

Sebelum ini pada 30 Jun lepas, Lokman diberikan notis tunjuk sebab oleh Sequerah berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil semasa Ahmad Zahid.

Sequerah membuat keputusan bersalah mengikut Perintah 52 Kaedah 2A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. – MalaysiaGazette