KUANTAN – Seramai 12 pegawai pelatih Pahang Talent terpilih untuk menjalani latihan selama setahun bagi menimba pengalaman dan pendedahan industri secara terus di bawah bimbingan barisan Exco kerajaan Negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program khas yang diperkenalkan pihaknya melalui Yayasan Pahang khusus untuk graduan anak negeri itu.
“Menerusi program yang julung-julung kali diadakan ini, kerajaan Pahang berhasrat melahirkan generasi pelapis serta modal insan yang berdaya saing, berjati diri dan berkemahiran sekaligus mampu disandar harap untuk mewarisi kepimpinan negeri pada masa depan.
“Justeru, para pelatih yang terpilih perlu memanfaatkan latihan selama 12 bulan ini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman, ilmu dan kemahiran bagi memberi manfaat kepada kehidupan dan kerjaya mereka serta menjadi aset yang berguna kepada negeri pada masa depan,” katanya ketika ditemui media hari ini
Untuk rekod, 12 daripada keseluruhan 400 graduan 2021/2022 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah terpilih untuk menjalani program berkenaan yang melibatkan beberapa fasa pemilihan bermula April lalu.
Bagi melayakkan seseorang graduan itu terpilih, mereka perlu melepasi tiga peringkat serta proses temuduga.
Selepas tamat menjalani latihan industri, mereka berpeluang diserap bekerja dengan Exco Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Jabatan Kerajaan Negeri Pahang yang berkaitan.
Namun jelas Wan Rosdy, ia tertakluk kepada prestasi dan pencapaian peserta sepanjang 12 bulan ini.
“Saya berharap agar kesemua 12 calon yang telah terpilih ini mengambil peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi diri yang seterusnya mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan negeri.
“Saya juga berharap agar program ini dapat diteruskan agar lebih ramai lagi tenaga mahir dan separa mahir dapat dilahirkan dan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak,” katanya. – MalaysiaGazette