Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama yang lain berjalan masuk untuk memberi keterangan berikutan menyertai berikutan menyertai Himpunan Mana Kapal LCS Turun hadapan Sogo Kuala Lumpur di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu termasuk Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah diambil keterangan oleh polis berhubung siasatan Perhimpunan Protes Mana Kapal Kapal Tempur Pesisir (LCS) setakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan itu.

“Setakat hari ini, kita sudah memanggil 13 individu yang terdiri daripada aktivis badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik antaranya Ahli Parlimen Muar (Syed Saddiq) dan juga Siti Zabeda Kasim atau dikenali Siti Kassim pukul 3 petang tadi dan sudah selesai mengambil keterangan berhubung perhimpunan itu.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan melihat jika ada individu lain akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pukul 3 petang untuk diambil keterangan sebelum keluar dari IPD berkenaan bersama Siti Kasim dan peguamnya Raj Surian Pillai kira-kira pukul 4 petang.

Difahamkan 10 individu hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi petang tadi termasuk Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan serta aktivis, Siti Kassim.

Pada Ahad lalu, kira-kira 60 individu menyertai protes “Mana Kapal LCS” termasuk NGO, mahasiswa dan ahli parti politik yang diadakan di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mereka juga dilihat memegang beberapa plakad dan kaid rentang bertulis Keselamatan Negara Terancam Kesiagaan TLDM Terjejas, H20 letak jawatan, Siasat Di Mana Kapal! dan Mana Kapal LCS? – MalaysiaGazette