KUALA LUMPUR – Warga Kementerian Pertahanan (Kementah) dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu berbangkit menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dianggapnya sebagai bermusim.
Sebaliknya Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menjelang PRU, lebih banyak dakwaan-dakwaan yang akan timbul untuk menyalahkan kerajaan.
“Saya minta semua yang hadir jangan toleh ke belakang lagi, jangan terikut ikut dengan perkara yang dibangkitkan secara bermusim lebih lebih lagi sudah dekat pilihan raya.
“Pada masa ini, macam-macam perkara lagi akan dibangkitkan saya hal nak menjawab, walaupun kita tak bersalah kadang kadang, kalau bersalah kita bertanggungjawab secara telus.
“Tetapi ini merupakan landskap politik yang tidak asing bukan sahaja di negara kita malah di dunia,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50.
Tatkala Kementerian Pertahanan kini terpalit dengan dakwaan isu penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan Projek Kapal Tempur Persisit (LCS), Hishammuddin menegaskan beliau tidak memerlukan mana-mana pihak memberinya duit rasuah.
“Terus terang saya cakap tidak perlu beri saya duit rasuah, tidak perlu. Saya tidak minta pun. Duit, sekiranya ada daripada nak rasuah menteri baik beri kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Jelas Hishammuddin sebagai pemimpin politik, beliau sudah lalu dengan dakwaan yang dilontarkan dan beliau tidak akan melarikan diri menjawab isu yang mengaitkannya.
Bagamanapun beliau bimbang dakwaan yang dipalitkan terhadap Kementerian Pertahanan akan menjejaskan agenda pembelaan warganya.
“Tak kiralah apa pertuduhan saya boleh terima saya orang politik saya boleh terima, nak jawab ke Dewan Negara saya boleh jawab, kalau bersalah hadapkan kita ke mahkamah tapi jangan menjejaskan kedudukan dan agenda kita untuk memberi pembelaan kepada warga kita dan ahli ahli-ahli Mindef (Kementah). Itu kebimbangan saya.
“Tidak benar Mindef tidak membawa pulangan ekonomi kepada negara kita kena buktikan dalam usaha memastikan negara kita selamat dan stabil juga merupakan aspek yang begitu penting untuk merancakkan ekonomi dan kewangan negara dan pihak berkepentingan,” tambahnya. – MalaysiaGazette