Kira-kira 25 pelajar SMK Bertam Perdana, Pulau Pinang diserang histeria yang dikatakan berpunca selepas pihak sekolah mengeluarkan peralatan musik jenis gong dari sebuah kelas yang telah lama tidak digunakan.

KEPALA BATAS – Sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Perdana di sini semalam gempar apabila kira-kira 25 pelajar perempuan diserang histeria.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, seorang pelajar meracau dan menjerit selepas dikatakan ternampak lembaga hitam di bahagian siling kelasnya.

Suasana kemudian bertukar kecoh apabila pelajar kelas bersebelahan pula didapati menjerit sehingga sesi pengajaran terpaksa dihentikan.

MalaysiaGazette difahamkan, sejurus kejadian itu, pihak sekolah telah mengambil tindakan mengasingkan kira-kira 25 pelajar terlibat di surau sebelum seorang ustaz dipanggil untuk memulihkan keadaan.

Waris yang ingin dikenali sebagai Julia berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anaknya pulang awal berbanding jadual rutin.

“Rumah saya tak jauh dari sekolah, memang ada nampak budak berlari-lari ingatkan mereka sedang jalani latihan kawad namun situasi itu agak pelik apabila bacaan ayat-ayat suci al-Quran pula dimainkan secara kuat.

“Bagaimanapun, semua persoalan itu terjawab selepas anak saya pulang ke rumah pada pukul 12.30 tengah hari dan memaklumkan pelajar sekolah mereka diserang histeria.

“Memang terkejut dengar khabar dari anak saya yang memaklumkan ada antara individu diserang histeria itu menari tarian tradisional Melayu malah saya difahamkan ini merupakan kejadian kedua,” katanya hari ini.

Seorang lagi waris yang ingin dikenali sebagai Noraini mendakwa histeria itu tercetus dipercayai berlaku selepas pihak sekolah mengeluarkan beberapa alat musik dari kelas lama yang tidak digunakan.

“Saya tidak tahu punca sebenar tetapi berdasarkan dakwaan anak saya histeria itu tercetus selepas ada peralatan musik jenis gong dikeluarkan dan tidak disimpan semula di tempat asalnya.

“Malah, anak saya juga mendakwa sebelum ini insiden sama berlaku ketika pihak sekolah mengeluarkan alat musik jenis gamelan.

“Selain itu, kami dimaklumkan sesi persekolahan pagi tadi dimulakan dengan bacaan Yasin dan azan sebelum pelajar meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette