Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang pelajar perempuan ditendang dan dibelasah teruk oleh bapanya selepas dia enggan menemani ibunya untuk meminta wang daripada ahli keluarga.

Kejadian yang menimpa pelajar berusia 16 tahun itu berlaku di kediamannya di Taman Sagam Ampang, lebih kurang 7.55 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian itu, mangsa melihat ibu dan bapanya bertengkar kerana wang.

“Suspek telah menyuruh ibu pengadu pergi meminta duit dari ahli keluarga lain namun ibu mangsa enggan menurut perminataan suami (suspek)nya menyebabkan suspek marah dan menarik rambut ibu pengadu.

“Kemudiannya,suspek telah meminta pengadu (mangsa pelajar) menemani ibunya namun pengadu enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga yang lain untuk meminta wang seperti dikehendaki suspek.

“Akibat berang dengan keeengganan mangsa menyebabkan, suspek marah menjerit menggunakan kata-kata kesat lalu menampar kepala sebelah kanan, menolak badan selain memukul dan memijak kepala pengadu (mangsa) menggunakan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengadu telah dikejarkan ke Hospital Ampang dan sedang menerima rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah beralamat di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga, Selangor dan menahan suspek.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang  untuk direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan / 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan dan jBapika disabitkan kesalahannya boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette