KUALA LUMPUR – Agensi pelancongan haji dan umrah diingatkan tidak membawa jemaah dalam kalangan transgender ke Tanah Suci Makkah melainkan jantina sebenar mereka dapat dipastikan.
Pengerusi Madrasah Tahfiz Al-Fa, Mohd. Asna Amin berkata, sikap terlepas pandang terhadap ketegasan itu boleh mengundang kepada insiden wanita memakai ihram seperti lelaki berulang yang dilihat sebagai satu penghinaan kepada Islam.
“Saya berharap pihak yang terlibat dalam perkhidmatan ibadah umrah mahupun haji lebih berhati-hati selepas ini.
“Sebelum ini kita juga pernah dimalukan dengan perbuatan seorang lelaki Malaysia dipercayai berperwatakan wanita menunaikan ibadah umrah.
“Pastikan gejala yang memalukan ini tidak berulang. Pastikan tiada transgender dibawa menunaikan ibadah umrah mahupun haji kecuali dengan jantina sebenar mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Khamis lalu, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.
Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di akaun Twitter miliknya, @Aliyameha itu menunjukkan individu terbabit sedang merakam dirinya di hadapan kaabah.
Terdahulu, Mohd Asna membuat laporan di Balai Polis Paroi, Negeri Sembilan pada 16 Ogos lalu terhadap wanita terbabit di atas perbuatannya yang memperlekeh hukum agama dan kesucian Islam.
Dalam pada itu, Mohd. Asna juga berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap pelaku itu sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak agar perbuatan menghina Islam itu tidak berulang.
“Saya mengharapkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa bagi menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak membuat sesuatu yang menghina agama Islam.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja memalukan Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Pemakaian ihram adalah untuk golongan lelaki, bukan perempuan.
“Sebagai pengerusi madrasah tahfiz apatah umat Nabi Muhammad S.A.W yang cintakan agama Islam, saya amat marah dan kecewa sekiranya insiden itu benar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette