DOHA – Penganjur telah menjual 2.45 juta tiket untuk Piala Dunia tahun ini di Qatar, kata badan induk bola sepak dunia FIFA dengan lebih setengah juta daripadanya dijual dalam tempoh jualan terakhir dari 5 Julai hingga 16 Julai.

FIFA berkata, jumlah terbesar tiket yang diperuntukkan adalah untuk perlawanan peringkat kumpulan seperti Cameroon lwn Brazil, Brazil lwn Serbia, Portugal lwn Uruguay, Costa Rica lwn Jerman dan Australia lwn Denmark.

“Peminat yang tinggal di Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Mexico, Emiriah Arab Bersatu, England, Argentina, Brazil, Wales dan Australia mendahului dan beratur secara digital untuk mendapatkan jumlah tiket terbanyak,” kata FIFA.

Tarikh pelancaran untuk fasa jualan seterusnya akan diumumkan pada akhir September, tambah FIFA.

Jualan di kaunter juga akan bermula di Doha selepas pelancaran fasa jualan saat akhir.

Piala Dunia bermula sehari lebih awal daripada yang dijadualkan dengan upacara pembukaan berlangsung sebelum negara tuan rumah memulakan kejohanan pada 20 November menentang Ecuador.

Ia akan menjadi Piala Dunia pertama yang diadakan di Timur Tengah dan telah ditunda ke akhir tahun ini daripada jadual biasa Jun hingga Julai untuk mengelakkan musim panas di rantau ini. – Reuters