Munirah Najihah Shaari (tengah) yang dilantik menjadi peguam tertuduh memberitahu mahkamah beliau baharu dilantik pihak tertuduh menerangkan sesuatu kepada pihak media.

JOHOR BAHRU –¬† Mahkamah Majistret di sini menetapkan kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu¬† pada Julai lalu yang sepatutnya disebut semula hari ini ditangguhkan.

Kes tersebut ditangguh oleh Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim pada tarikh berkenaan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh laporan lengkap yang diperlukan.

Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperoleh laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam yang berusia 24 tahun.

“Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperoleh. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan,” katanya.

Menerusi prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah namun dia diwakili peguamnya, Munirah Najihah Shaari yang memberitahu beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

Difahamkan, Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah kerana dirinya masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu di sini pada pukul 11.30 dan 11.40 pagi pada 4 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan insiden seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.-MalaysiaGazette