Keadaan lima pemancing yang diselamatkan APP di Pulau Batu Berantai.

KUALA LUMPUR – Lima pemancing yang hanya berpaut pada tebing batu selepas terkandas 15 jam di Pulau Batu Berantai pada kedudukan jarak 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis, Jeram, Selangor berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pagi tadi.

Identiti kelima-lima mangsa ialah Mohd Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, Mohd Razwan Hussin, 48, ketiga-tiganya berasal dari Tanjung Karang.

Manakala dua lagi mangsa ialah Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, dari Jeram, Selangor.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh ‘rescue swimmer‘ Maritim Malaysia yang membawa mereka naik ke atas pesawat menggunakan teknik ‘winching’ dengan memindahkan mangsa menggunakan tali sekitar jam 10.25 pagi.

Setelah dipindahkan ke pesawat, kesemua pemancing segera diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) untuk mendapatkan rawatan kerana mangsa dalam keadaan lemah dan masih trauma.

Menurut salah seorang mangsa, Mohd Razwan bin Hussin, mereka bertiga yang berasal dari Tanjung Karang dihantar menaiki sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pada jam 7.20 petang semalam, dan sepatutnya pulang pada pagi tadi.

Namun sekitar jam 8.30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.

Setelah itu, bot itu akhirnya tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu mereka melambaikan tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan laut yang semakin membahayakan.

Tambah Razwan lagi, mereka tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan kerana barang-barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak dan arus laut.

Sejurus kesemua mangsa tiba di SUMS, mereka diberikan rawatan awal oleh pengamal perubatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Klang dengan menaiki ambulan.

Maritim Malaysia menasihatkan, agar pemancing yang ingin ke laut perlu melakukan persiapan sewajarnya selain mengambil langkah berwaspada dan merangcang lebih awal aktiviti yang hendak dilakukan.

Selain mengambil ikhtibar daripada kejadian yang berlaku ini, agar tragedi sama tidak berulang lagi.

Komuniti pemancing juga diingatkan, agar segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang memudahkan kedudukan mereka dikesan pasukan penguat kuasa dan CARILAMAT sekiranya berlaku kecemasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast