KUALA LUMPUR – Pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin wajar menjadi tauladan kepada rakyat Malaysia walaupun dilahirkan di China.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri , Lim Kit Siang berkata, Chen sentiasa melihat dirinya yang pertama sebagai orang Malaysia walaupun mendiang warisan etnik republik komunis itu.
“Dr. Chen mengimpikan ‘Impian Malaysia’ dan Malaysia hanya boleh berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia mengejarnya bukannya impian Melayu, impian Cina, impian India, impian Kadazan atau impian Dayak.
“Keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan kemajuan adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahu pun kawasan, sekiranya kita tidak mahu Malaysia terjunam menjadi sebuah negara gagal,” kata Kit Siang dalam perkongsian di media sosial.
Chen meninggal dunia di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan semalam pada usia 97 tahun.
Mendiang adalah Pengerusi DAP sejak 1966 hingga 1999 dan telah dilantik sebagai penasihat seumur hidup yang pertama bagi parti itu.
Menurut Kit Siang, Chen telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia selama empat dekad tanpa meminta sebarang balasan untuk dirinya.
Menurutnya, jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang hebat maka negara ini memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia seperti Chen.
“Dia patut menjadi model tauladan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, sekiranya Malaysia ingin menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
“Malaysia memerlukan lebih ramai orang seperti Dr. Chen Man Hin sekiranya kita ingin memenuhi potensi negara kita dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia,” katanya.
Chen menjadi ADUN Rahang dari tahun 1965 hingga 1982 dan juga pernah menjadi Ahli Parlimen Seremban Timor (1969 – 1974) dan Seremban (1974 – 1982 dan 1983 – 1990).
Beliau mempunyai lima orang anak. Sejarah politik Chen bermula apabila beliau menyertai Parti Tindakan Rakyat atau lebih kenali sebagai People’s Action Party (PAP).
PAP merupakan parti pimpinan bekas Presiden Singapura, Lee Kuan Yew.
Apabila Singapura keluar dari Malaysia, Chen serta rakan-rakannya seperti Devan Nair dan Chan Kok Kit mengasaskan DAP. – MalaysiaGazette